Secara umumnya, gula berfungsi membekalkan tenaga kepada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, pengambilan terlalu banyak gula boleh memudaratkan.
Gula merupakan karbohidrat ringkas yang membekalkan tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh. Gula boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu gula semula jadi dan gula tambahan. Gula semula jadi boleh didapati daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan madu. Manakala gula tambahan adalah gula yang ditambah ke dalam makanan atau minuman sama ada ketika diproses, dimasak atau dimasukkan terus ke dalam makanan. Gula tambahan ini juga berasal daripada sumber semula jadi. Kebanyakan makanan yang diproses di kilang menggunakan gula tambahan yang dikenali sebagai sukrosa, sirap jagung (corn syrup) dan sirap glukosa (glucose syrup).
Diakui kanak-kanak memang perlukan karbohidrat. Bagi kanak-kanak berusia dua tahun dan ke atas, mereka perlukan kalori yang diperoleh daripada karbohidrat di antara 50 hingga 60%. Akan tetapi, ibu bapa perlu pastikan karbohidrat yang diberikan kepada anak adalah daripada sumber makanan yang berkhasiat dan bukan semata-mata daripada gula.
Sebenarnya, tubuh manusia tidak perlukan gula tambahan. Hal ini adalah kerana tubuh boleh menukarkan makanan seperti nasi, ikan, daging, sayur, susu dan ubi kentang kepada glukosa apabila badan memerlukan tenaga. Jika dihitung, pengambilan makanan harian iaitu dua kali hidangan nasi dan makanan sampingan lain mempunyai jumlah kalori (tenaga) yang jauh lebih banyak daripada tenaga yang diperlukan oleh tubuh. Kalori yang berlebihan itulah yang akan memberikan kesan buruk terhadap kesihatan badan seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti.
Kesan pengambilan gula tambahan berlebihan:
  • Boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan.
  • Pengambilan tenaga yang berlebihan dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan peningkatan berat badan seterusnya membawa kepada masalah obesiti.
  • Merangsang pembentukan karies gigi.
  • Wujudnya masalah kelakuan seperti hilang daya tumpuan dan panas baran juga berpunca daripada mengambil terlalu banyak gula.
  • Peningkatan risiko menghidap penyakit kencing manis.
  • Kemungkinan diserang masalah tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok sangat tinggi. 
  • Melemahkan sistem imunisasi tubuh.
  • Mengganggu imbangan galian dalam badan.
  • Menyebabkan kanak-kanak rasa mengantuk dan kurang cergas.
  • Menjejaskan pencapaian kanak-kanak dalam pelajaran.
  • Melemahkan penglihatan.
  • Meningkatkan paras adrenalina di kalangan kanak-kanak.
  • Penyebab ekzema di kalangan kanak-kanak.
 Panduan kurangkan pengambilan gula:
  1. Banyakkan minum air kosong.
  2. Kurangkan penggunaan gula dalam masakan dan minuman.
  3. Ambil buah-buahan sebagai makanan pencuci mulut menggantikan kuih-muih yang manis.
  4. Elakkan pengambilan snek dan minuman bergula di antara waktu makan utama dan sebelum tidur.
  5. Seelok-eloknya pilihlah makanan dan minuman yang tidak mengandungi gula tambahan. 
Info tambahan:
Paras gula yang tinggi atau Hyperglycaemia akan menyebabkan pembakaran glukosa yang berlebihan di dalam otot. Pembakaran tenaga akan menghasilkan gerak-geri otot yang menyebabkan kanak-kanak bergerak tanpa kawalan. Dengan tenaga yang berlebihan, mereka akan mula berlari-lari, melompat dan menjerit-jerit tanpa kawalan. Inilah yang dinamakan hiperaktif.
Pembakaran glukosa pula menghabiskan vitamin B1, B2, B3, kalsium, magnesium dan oksigen kerana sebahagian besarnya telah digunakan untuk aktiviti pergerakan otot. Kekurangan vitamin dan zat ini mengurangkan baki bekalan glukosa untuk kegunaan otak. Keadaan ini akan mempengaruhi emosi anak. Mereka mudah gelisah dan cemas kerana otak tidak mendapat bekalan glukosa, oksigen, vitamin dan zat galian yang mencukupi.
Berapa banyakkah gula yang ada di dalamnya?
  • Minuman bergas 500ml - 14.4 sudu teh
  • Minuman dalam tin tanpa gas 350ml - 9.6 sudu teh
  • Minuman coklat malt dalam tin 125ml - 5.5 sudu teh
  • Kek buah-buahan 40g - 3.5 sudu teh
  • Bijirin sarapan bersalut madu 220g - 10.1 sudu teh
  • Aiskrim coklat sepotong saiz biasa - 7.7 sudu teh
  • Sundae restoran makanan segera - 10.3 sudu teh
  • Rempah ayam segera satu pek - 4.7 sudu teh
  • Minuman berkultur satu botol kecil - 2.7 sudu teh
  • Susu pekat manis dalam tin kecil - 35.5 sudu teh
 Nama lain gula ialah:
  • Glukosa
  • Fruktosa
  • Laktosa
  • Maltosa
  • Sukrosa
  • Sirap Glukos
  • Sirap Maple
  • Molases
  • Sirap Hitam
  • Sirap Kencana
  • Dektrosa
  • Sorbitol



Sumber:
Oleh: EDITORIAL PAMA